Tuesday, 4 February 2014

AS iktiraf peranan ATM dalam 'Black Hawk Down'

Amerika Syarikat (AS) secara rasmi hari ini mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah menyelamatkan tentera negara tersebut di Mogadishu, Somalia selepas 20 tahun kejadian itu berlaku.
 
Biarpun kisah pengorbanan tentera Malaysia yang menyertai operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSOM II) pada 3 dan 4 Oktober 1993 itu tidak pernah didedahkan malah tidak langsung dipaparkan dalam filem berjudul Black Hawk Down arahan Ridley Scott pada 2001, pengisytiharan itu amat membanggakan ATM.

Pemangku Penolong Setiausaha Negara Biro Hal Ehwal Politik Tentera AS, Tom Kelly berkata, negaranya amat terhutang budi dengan pengorbanan anggota ATM yang disifatkan sebagai berani mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan tentera elit AS yang ketika itu terperangkap dalam serangan militan Somalia.

"Jasa tentera Malaysia ini akan dikenang dan AS mengucapkan jutaan terima kasih di atas tindakan berani pasukan ATM untuk menyelamatkan anggota kami dalam kejadian 20 tahun lalu itu.

"Malah dalam kejadian itu seorang anggota tentera Malaysia telah kehilangan nyawa selain sembilan tercedera dalam operasi menyelamat di Mogadishu itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pengiktirafan Keupayaan Latihan Penuh dan Pelancaran Blueprint Pusat Pengaman Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dalam ucapan turut berkata, beliau terharu dengan pengiktirafan itu kerana AS dapat mengenang jasa perajurit tanah air yang terlibat dalam operasi itu.

"Saya juga berterima kasih kerana AS hari ini masih mengenang pengorbanan anggota kami yang terlibat dalam operasi itu walaupun ia telah berlalu hampir 20 tahun lalu.

"Terima kasih kerana mengimbas kembali jasa anggota pengaman Malaysia yang sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan anggota AS," katanya.

Dalam kejadian itu, lebih 100 anggota ATM mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan tentera AS yang terperangkap ketika diserang puak militian Somalia di tengah bandar Mogadishu.

Operasi menyelamat itu turut mengakibatkan sembilan anggota ATM tercedera selain mengorbankan nyawa Koperal Mat Aznan.

Bagaimanapun, kisah sebenar itu tidak pernah diceritakan dan pengorbanan besar pahlawan negara yang memainkan peranan utama dalam operasi berkenaan seperti tidak diiktiraf malah anggota ATM seperti tidak wujud dalam kejadian itu seperti yang diuar-uarkan media antarabangsa.

Sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment